Artikel 1
Langkah awal ialah kerajaan harus memberikan bantuan kewangan yang mampu memberi rangsangan kepada ekonomi untuk berkembang dengan pesat. Bantuan kewangan ini perlulah besar yakni menelan berbilion ringgit supaya lebih banyak projek pembangunan dijalankan secara serentak. Apabila semua projek pembangunan dijalankan serentak sudah pasti jumlah pekerja yang diperlukan ramai dan semua orang berpeluang untuk bekerja. Pakej kewangan ini hendaklah diuruskan oleh kerajaan dengan bijak melalui pemilihan projek ekonomi yang boleh mencambahkan lebih banyak aktiviti ekonomi sampingan seperti ekonomi berasaskan teknologi dan penyelidikan tinggi. Jelaslah, ekonomi negara akan pesat membangun jika kerajaan menyediakan pakej bantuan kewangan yang banyak untuk mewujudkan peluang pekerjaan.
Pakej kewangan yang besar ini boleh diikuti dengan pengenalan pelbagai insentif baru kepada ahli-ahli perniagaan terutama pembinaan lebih banyak kawasan industri dan pemberian bebas cukai kepada industri yang tidak membuang pekerjanya. Pelbagai insentif ini mampu menguatkan semangat kepada ahli perniagaan untuk mencuba melakukan sesuatu yang baru dalam perniagaannya dan juga mengharungi cabaran kegawatan ekonomi dengan lebih terbuka dan rasional kerana menyedari bahawa pihak kerajaan berusaha untuk menyelamatkan mereka juga. Semua idea baru yang diperkenalkan sudah pasti mampu memberikan suntikan kepada ahli perniagaan untuk meneruskan kerja mereka tanpa perlu membuang pekerja sebaliknya mereka mungkin memerlukan lebih ramai pekerja untuk mengambil kesempatan yang wujud itu. Maka, kerajaan perlu memberikan idea-idea baru yang mampu memudahkan ahli perniagaan untuk menjalankan peranan mereka dengan lebih efektif.
Selain itu, usaha untuk memperkenalkan negara harus ditingkatkan oleh kerajaan menerusi pameran dan kunjungan rombongan ekonomi ke negara-negara lain. Lawatan sebegini menyebabkan lebih banyak negara luar menyedari kelebihan dan kepentingan mendirikan perniagaan di Malaysia berdasarkan maklumat yang tepat diperoleh daripada ahli-ahli rombongan ini. Kemasukan lebih banyak model asing ke negara ini sudah pasti mampu menjana lebih banyak aktiviti ekonomi bersama-sama dengan pakej ekonomi yang sebelum ini ditawarkan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi. Hal ini membuktikan bahawa usaha memperkenalkan negara ke mata dunia amat penting terutama jika semua rombongan ini digunakan dengan sebaik mungkin dan tidak hanya sebagai satu lawatan sahaja.
Pihak swasta pula terutama ahli perniagaan turut mempunyai peranan tersendiri yakni mereka perlu sanggup berkorban ketika negara mengalami masalah kegawatan ekonomi ini. Pengorbanan mereka itu boleh dijelmakan dalam bentuk mengurangkan gaji atau ganjaran buat mereka dalam bentuk bonus dan sebagainya supaya wang itu boleh digunakan untuk memastikan syarikat terus wujud lalu tidak membuang pekerja yang boleh menambahkan jumlah pengangguran. Kehidupan mereka yang sudah lama hidup mewah perlu dikorbankan demi kemajuan negara pada masa hadapan kerana jika mereka masih mengaut keuntungan menerusi gaji dan bonus yang tinggi sudah pasti syarikat mereka akan kekurangan sumber kewangan untuk mengharungi zaman kemelesetan ini. Oleh itu, pihak swasta harus juga memikirkan orang lain dan tidak hanya mamu menyelamatkan diri mereka sahaja dalam kegawatan sebegini.
Artikel 2
Setakat Jun 2015 dianggarkan Malaysia mempunyai 14.7 juta tenaga kerja dengan lebih 400,000 orang termasuk dalam golongan mencari pekerjaan pada setiap masa atau menganggur.
Seramai 107,000 orang daripada jumlah penganggur itu pula terdiri daripada graduan lepasan diploma, ijazah dan ke atas. Dengan istilah lain, kadar pengangguran di Malaysia berada pada paras 3.2 peratus daripada jumlah tenaga buruh.
Tersentak dengan jumlah berkenaan? Jika kini jumlah itu dilihat agak tinggi, bagaimana pula keadaannya pada tahun-tahun akan datang? Ini kerana setiap tahun, universiti awam mahupun swasta kita melahirkan ramai graduan. Bagaimanapun, pada ketika ini, itu adalah hakikat yang perlu diterima.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, walaupun kadar pengangguran itu belum dikategorikan sebagai membimbangkan, Kerajaan tetap berkewajipan untuk mencari langkah bersesuaian bagi menangani masalah pengangguran.
Maka, lahirlah program dan skim latihan pekerjaan untuk golongan terbabit seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), iaitu satu projek tanggungjawab korporat sosial (CSR) bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan graduan mendapatkan pekerjaan.
“Kita mahu membantu mereka seramai mana yang kita boleh dan dengan menyediakan pelbagai latihan bermanfaat terkandung di dalam SL1M, ia dirasakan amat bertepatan.
“Selain itu, dalam hal ini juga, menjadi keperluan pihak industri dan majikan untuk membantu Kerajaan menyediakan tempat dan peluang pekerjaan kepada golongan muda yang menganggur,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan seramai 15,000 pelatih SL1M menjelang 2016 berbanding 10,000 tahun ini.
Statistik menunjukkan, setakat ini, sebanyak 210 syarikat swasta dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) yang menyertai SL1M terus komited dan pihaknya yakin jumlah itu dapat ditingkatkan lagi menerusi semasa ke semasa dalam membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui Program SLIM yang dijalankan oleh syarikat masing-masing.
“Kami sentiasa mengalu-alukan syarikat sama ada di bandar mahupun luar bandar yang ingin terbabit sama dalam program SL1M sebagai komitmen menyokong agenda pembangunan modal insan yang berdaya saing.
“Program latihan seperti ini bukan saja dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan, tetapi juga meningkatkan bilangan graduan yang mempunyai pengalaman alam pekerjaan yang sebenar.
“Malah, menerusi pengalaman saya berjumpa dengan peserta, mereka berubah menjadi lebih baik dari segi pertuturan, penampilan mereka dan amat berkeyakinan tinggi apabila berhadapan dengan orang ramai selepas menyertai program ini,” katanya.
Sejak 2011 hingga kini, seramai 70,000 graduan di seluruh negara dibantu SL1M dan daripada jumlah itu, seramai 26,140 graduan dibantu secara terus menerusi program SL1M yang dijalankan oleh syarikat, manakala graduan selebihnya dibantu secara tidak langsung menerusi ‘Program Outreach’ SL1M yang dijalankan di seluruh negara.
Program SL1M dikelolakan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri melalui kerjasama dan komitmen daripada GLC dan syarikat swasta seluruh negara. Fokus utama program ini adalah graduan ijazah sarjana muda dan ke atas yang belum mendapat pekerjaan, berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar.
Peserta akan dilatih firma yang ambil bahagian bagi meningkatkan keyakinan diri dan mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan, tertakluk kepada kekosongan jawatan dan prestasi peserta.
Peserta atau graduan terbabit juga diberi pendedahan serta pengalaman kerja sebenar di syarikat yang terdiri daripada pelbagai sektor di seluruh negara. Pasukan petugas tentu boleh menambah baik aplikasi konsep atau pendekatan ini bagi membantu graduan lebih mudah mendapat pekerjaan.
Buktinya, SL1M mendapat sambutan dan penyertaan menggalakkan daripada GLC dan syarikat swasta serta graduan sejak dilancarkan pada 1 Jun 2011.
Artikel 3
Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka mampu meninggikan petrumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai cukai.
Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan atu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.
Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.
Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.
Artikel 4
NEGARA kita pernah mengalami kemelesetan ekonomi pada pertengahan tahun 1980-an.
Ketika itu berbagai-bagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah pengangguran di kalangan tenaga kerja khususnya lepasan universiti.
Salah satu langkah yang dilaksanakan ketika itu ialah Operasi Isu Penuh yang diinisiatifkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menerusi operasi atau skim tersebut, lepasan universiti diambil bekerja dengan jabatan dan kementerian dengan diberi tugas di peringkat pengurusan pertengahan dan diberi elaun yang berpatutan.
Begitu juga dengan lepasan sekolah yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sama ada di benarkan memasuki tingkatan enam walaupun memperolehi keputusan lemah atau diberi pekerjaan di peringkat perkeranian dengan tangga gaji yang munasabah.
Langkah tersebut berjalan lancar dan masalah pengangguran dapat dikurangkan atau diatasi dengan secara positif.
Maka, apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapha Mohamed mengumumkan bahawa kementeriannya bercadang untuk memperkenalkan skim latihan keusahawanan kepada para graduan kita yang akan memasuki pasaran tenaga kerja pada pertengahan tahun ini, sudah tentu rakyat menyambutnya dengan perasaan lega. Ini kerana sekurang-kurangnya ia menunjukkan bahawa kerajaan sememangnya bersedia dan bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk menangani masalah pengangguran ketika negara menghadapi kegawatan ekonomi.
Langkah tersebut dapat diambil sebagai kata pepatah, 'menyediakan payung sebelum hujan'.
Dengan cara ini kerajaan tidak akan terperangkap dalam situasi yang sukar apabila keadaan benar-benar gawat dan memerlukan suatu penyelesaian yang konkrit. Malah dengan pelaksanaan skim itu, kementerian pembangunan usahawan jelas bersiap sedia untuk membolehkan lebih 30,000 graduan yang akan memasuki pasaran kerja dengan persiapan yang praktis.
Sewajarnya, ini adalah suatu langkah proaktif yang patut disokong. Ini kerana menerusi skim ini para graduan akan terdedah kepada dunia kerjaya dengan lebih cepat dan dapat mempersiapkan diri mereka bagi memenuhi kehendak profesion yang diceburi.
Dalam keadaan kegawatan ekonomi ini sudah tentu masalah untuk menyediakan pekerjaan kepada lepasan universiti akan menjadi suatu masalah besar.
Kita berpendapat para graduan patut menerima dan menyertai skim ini dengan hati yang terbuka dan sedar akan pentingnya mereka berada dalam keadaan yang tidak seindah yang diidam-idamkan.
Mereka perlu ingat bahawa menerusi latihan yang diberikan sudah tentu mereka akan dapat mengaut banak pengetahuan dan pengalaman yang boleh memperlengkapkan diri mereka apabila menerjuni bidang yang lebih mencabar setelah mereka ditawarkan pekerjaan apabila ekonomi pulih.
Justeru, apa yang penting ialah sikap para graduan itu yang mesti bersedia menerima apa saja mata gaji yang ditawarkan, atau elaun yang diberikan ketika latihan. Mereka perlu dimotivasikan bahawa adalah lebih baik menyertai skim latihan daripada duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan.
Perlu juga diterapkan ke pemikiran mereka bahawa ramai orang yang telah diberhentikan kerja dan terpaksa hidup tanpa pekerjaan dan gaji untuk menyara hidup.
Atikel 5
Ulasan
Catat Ulasan