Artikel 1
Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan sehingga tekanan yang dihadapi itu membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaraan. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.
Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.
Artikel 2
Tekanan atau stress merupakan sebarang jenis perubahan yang menyebabkan rasa tegang fizikal, emosional dan psikologi. Ianya adalah biasa. Semua insan mengalami tekan yang berkaitan dengan kerja, keluarga, keputusan , masa depan, dll.
Tekanan adalah fizikal serta mental. Ia di sebabkan oleh kejadian utama kehidupan seperti kesakitan, kematian orang yang kita sayangi, sesuatu perubahan dalam tanggungjawab atau dugaan di tempat kerja, kenaikan pangkat, kerugian, masalah kewangan atau perubahan yang tiba-tiba atau yang tidak dijangka. Sebagai respons kepada tekanan harian , badan kita secra automatik menambahkan tekanan darah, denyutan jantung, pernafasan, metabolisme dan aliran darah ke otot anda. Respons ini bertujuan untuk membantu badan anda bereaksi secara pantas dan berkesan terhadap sesuatu keadaan yang tegang. Bagaimanapun, apabila anda sentiasa bereaksi terhadap kedaan yang banyak tekanan (stressful), sama ada kecil atau besar, tanpa membuat penyesuaian fizikal, mental, dan emosional bagi menangani kesannya, maka anda boleh mengalami tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan, kesejahteraan, tenaga, kecerdasan dan hubungan peribadi dan profesional anda. Lantaran itu, anda perlu memahami unsur-unsur utama yang boleh membawa tekanan dalam kehidupan anda dan mengambil tindakan untuk mencegahnya.
Perlu diingatkan tekanan boleh membawa kesan positif. Anda perlu sedikit tekanan untuk membuat kerja anda dengan cemerlang. Kunci untuk mengurus tekanan ialah untuk memastikan tahap tekanan yang sesuai yang boleh memberi anda tenaga, keghairahan dan motivasi dan juga tahap tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan anda. Antara isu dan peristiwa yang menyebabkan tekanan jiwa ialah perasaan tidak mempunyai arah haluan; perasaan tidak dapat mengawal sesuatu keadaan; rasa bersalah terhadap kelewatan atau kegagalan untuk menyempurnakan komitmen; terlalu banyak komitmen berbanding dengan masa yang ada; perubahan, terutamanya perubahan yang anda sendiri tidak buat; sesuatu keadaan yang tidak menentu dan dugaan tinggi terhadap diri anda. Kesan tekanan bergantung kepada bagaimana kita memandangnya – sikap . kita terhadap sesuatu keaddan. Misalnya, berpindah rumah merupkan keadaan tekanan yang tinggi. Tetapi sama ada tekanan yang anda alami itu melemahkan atau sangat menggembirakan bergantung kepada bagaimana anda bereaksi terhadap situasi yang tertentu itu. Adakah ia satu pengalaman pahit atau satu cabarang yang merangsang?
Cara yang terbaik untuk menangani tekanan ialah untuk membasminya. Misalnya, jika anda tahu anda mempunyai alergi terhadap kain bulu biri, anda harus hentikan memakai pakaian itu. Maka dengan itu tekanan anda akan hilang. Jika tekan anda adalah disebabkan oleh sesuatu keadaan, anda perlu memilih sesuatu teknik yang boleh digunakan dengan serta merta apabila dihadapinya pada saat itu juga. Ubah tekanan anda kepada satu motivator dengan memandang sesuatu keadaan secara positif.Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan tekanan dan tegangan dan berasa senang dan tenang. Berikut ialah tujuh cara yang pada pendapat saya merupakan cara yang paling berkesan bagi mengatasi tekanan dalam jiwa kita.
1) Senaman pernafasan.
Pernafasan membawa banyak manfaat, termasuk mengoksigenkan darah yang membangunkan otak, melegakan otot dan menteramkan minda kita. Tarik nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan kuat dan hembuskan nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan penuh . Semasa menhadapi tekanan, pernafasan menjadi lemah dan pantas. Bernafas dengan kuat merupakan satu cara yang efektif untuk mengekekalkan keadaan tenang. Senaman pernafasan ialah berguna kerana ia boleh dibuat di mana- mana sahaja dan ia membawa kesan positif dengan serta merta. Kita hendaklah menjadikan senaman sebagai satu tabiat harian.
2)Tafakur (Meditation)
Apabila bertafakur bersendirian tanpa apa-apa gangguan , otak anda menjadi tenang dan hormon tertentu yang memajukan kesihatan dibebaskan. Minda yang senang dan lega membantu kita mengelakkan tekanan jiwa. Setiap hari kita perlu membelanjakan sekurang-kurangnya lolima belas minit untuk bertafakur.
3)Penggambaran.
Penggambaran atau visualization membantu anda membayangkan anda mencapai tujuan dan cita-cita anda seperti menjadi sihat dan berasa tenang; menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik dan menangani situasi konflik secara berkesan. Juga, membayangkan anda membuat kerja yang anda mencuba untuk menguasai dengan cemerlang sebenarnya berfungsi sebagai latihan fizikal. Jadi, anda boleh menambahbaikkan prestasi anda melalui penggambaran.
4)Pengurutan (Massage).
Terapi pengurutan mengurangkan denyutan jantung dan melegakan badan anda. Ia juga menambahkan kecerdasan minda kita. Minta sahabat anda memberi massage atau dapatkan khidmat seorang professional bagi membantu anda.
5)Kelegaan otot.
Berbaring, bersenang-senang dan dan membiarkan otot anda di muka, tangan, bahu dan leher mengendur sekuarang-kurangnya tiga minit. Latihan ini boleh dibuat mana-mana sahaja dan ini boleh membantu anda berasa tenang dengan cepat dan mudah.
6)Muzik.
Terapi muzik mendatangkan banyak faedah kesihatan bagi mereka yang mengalami tekanan dan juga kesakitan yang teruk. Muzik yang sesuai boleh mengurangkan tekanan darah, melegakan badan dan mententeramkan minda anda. Anda perlu memilih muzik ringan dan yang anda sukai dan denganya setiap hari.
7)Pengurusan masa.
Kenalpasti kerja harian anda mengikut keutamaan dan menetapkan satu jadual supaya anda dapat menyiapkannya mengikut keutamaan dengan tanpa melengah-lengahkan. Kenalpasti juga kerja yang tidak mendatangkan sebarang faedah seperti gossip kosong, perbualan telefon dan yang memebazirkan masa anda. Membelanjakan masa yang lebih bagi membuat kerja yang lebih penting.
Selain teknik yang diterangkan di atas, anda boleh main pelbagai aktiviti dengan anak-anak; berjalan sekurang-kurangnya dua kilometer sehari; pergi berenang di sungai atau pantai; beri perhatian kepada pemakanan; tidur lapan jam setiap malam; dan menuntun kartoon atau lawak jenaka (komedi) atau baca komik (kerana mengikut pakar perubatan gelak ketawa dan kelucuan melegakan otot, mengurangkan tekanan darah, menambahkan tahap tenaga, dan menyegarkan sistem pernafasan dan darah kita).
Artikel 3
Berfikiran positif
Bagi mengelakkan diri memikirkan perkara yang tidak berfaedah atau membebankan perasaan dan pemikiran kebiasaannya olyn akan mula berfikir secara positif. Iaitu olyn akan selalu menganggap bahawa masalah yang datang dan menjadikan diri kita tertekan sebagai cabaran dan rencah dalam kehidupan. manusia mana yang tidak ditimpa masalah dan mengalami tekanan. Perkara ini bergantung kepada diri setiap individu bagaimanakah cara untuk menangani stress masing-masing. Sebolehnya apabila menghadapi tekanan harus berfikir secara positif bahawa kita di uji kerana Tuhan sayangkan kita dan Tuhan tahu kita mampu menghadapinya oleh kita diuji. Kita juga harus berfikiran positif dan memikirkan bahawa stress adalah suatu keperluan hidup untuk kita meningkatkan kualiti kehidupan.
2. Sentiasa Mengingati Tuhan
Mengingati Tuhan juga adalah merupakan salah satu cara untuk mengatasi stress. hanya Tuhan sahaja yang punya kuasa untuk menentukan takdir hidup manusia. Namun sebagai manusia kita seharusnya berusaha untuk menghadapi segala ujian yang mendatang dengan kental. Jadilah seteguh karang. Nun jauh rendah di dasar lautan namun jiwa kentalnya sekental gunung di daratan.
3. Sedia berkongsi masalah
Bersedia berkongsi masalah dengan mana-mana individu yang kita percayai mampu mengurangkan tekanan dalam hidup. Sekurang-kurangnya bila kita telah meluahkan perasaan dan berkongsi masalah dengan orang lain perasaan kita kan menjadi lebih tenang dan lega. akan merasa lebih tenang dan mendamaikan kerana keluahan telah diluahkan sepenuhnya. Namun berhati-hati, pilih individu yang boleh dipercayai.
4. Terima kelebihan dan kekurangan diri
Kebiasaannya, kita akan tertekan atau mengalami stress bila orang lain mengungkit kekurangan kita. apa salahnya jika kita menerima kekurangan diri dan kritikan yang diterima dijadikan sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan diri sendiri. Terimalah juga kelebihan itu sebagai penghargaan kepada diri sendiri. Berdasarkan cara ini sekurang-kurangnya kita tahu bahawa setiap apa yang berlaku adalah bersebab.
5.Ketawa dan berseronoklah
Jika anda mengalami stress jangan sesekali menyisihkan diri daripada rakan-rakan mahupun orang lain.Cuba lah cari sesuatu yang boleh melegakan hati. Berseronoklah dan bergelak tawalah. Sesungguhnya ketawa adalah terapi bagi meregangkan urat2, otot2 dan saraf2 kita. Ia secara tidak langsung akan memberi cas positif dalam diri kita kerana kita tidak akan merasakan tertekan.
6.Senyum
Senyum akan secara tidak langsung memberi hiasan pada raut wajah.Orang akan turut tersenyum melihat kita senyum. Ini kerana senyum adalah salah satu bentuk komunikasi tanpa suara setiap individu dengan individu yang lain.
7.Bergaul dengan individu yang positif
Bergaul dengan individu yang positif akan menjadikan diri kita lebih bermotivasi. Ini kerana cas positif tersebut akan berpindah secara tidak langsung kepada kita.Persekitaran kita juga turut positif.
Artikel 4
Stres merupakan masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Malaysia. Polemik ini merujuk kepada tekanan yang tinggi sehingga menaikkan tekanan darah dan membawa kepada ketidakstabilan emosi. Lantaran menerjah arus modenisasi, pelbagai sektor di Malaysia telah berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Sektor-sektor tersebut memerlukan perkhidmatan rakyat untuk melonjakkan prestasi mereka. Dunia yang semakin materialistik pula memaksa rakyat bekerja keras bagai lebah menghimpun madudemi menyara keluarga mereka dan membeli peralatan yang diingini. Harga barang yang tinggi serta kos hidup yang melambung menyebabkan masyarakat pelbagai cara kontemporari untuk bersaing dengan industri lain. Hakikatnya, rakyat Malaysia mendepani kepincangan ini sehingga menjejaskan organisasi sosial negara. Persoalan yang sering berlegar-legar di benak fikiran kita ialah apakah cara atau minhaj untuk mengurangkan masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia?
Pada asasnya, rakyat Malaysia hendaklah meluangkan masa mereka untuk bersukan. Sukan amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan membantu mengurangkan tekanan. Misalnya, permainan bola sepak, badminton, tenis dan sebagainya bukan sahaja memberi suasana yang berbeza, bahkan juga membantu menyihatkan badan. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui sukan, seseorang mengeluarkan peluh dan hormon endorfin yang mencerdaskan otak, persisbadan cergas, otak cerdas. Aktiviti ini boleh dimain di padang, taman permainan atau gelanggang yang berhampiran dengan rumah masyarakat. Dengan bermain bersama rakan-rakan kita, fokus kita akan beralih daripada beban kerja kepada suasana permainan. Kita tidak akan memikirkan kerja seharian dan proses ini boleh merehatkan otak kita. Tegasnya, orang ramai perlu bersukan untuk memperoleh kebaikan serampang dua mata, iaitu mengatasi masalah stres disamping menyihatkan diri, persis sambil menyelam minum air.
Selain itu, rakyat negara kita perlu beriadah dan berekreasi. Aktiviti bermandi-manda di air terjun, makan angin dan sebagainya membebaskan kita daripada cengkaman realiti. Aktiviti sedemikian boleh diadakan bersama keluarga mahupun rakan sepejabat secara berkala. Contohnya, pada cuti sekolah, hari keluarga dan pelepasan umum. Persekitaran yang berteraskan flora dan fauna serta penuh dengan udara nyaman mampu menyegarkan diri kita. Bunyi air mengalir serta dendangan lagu alam semulajadi dapat menenangkan jiwa kita yang dahulu dikongkong oleh hiruk-pikuk bandar. Suasana yang sejuk dan senyap mengajar kita melepaskan tekanan dengan melelapkan mata di bawah sebatang pokok redup. Hakikatnya, tekanan kita dapat dilepaskan dan diganti pula dengan jiwa yang tenang. Justeru, tidak dinafikan aktiviti beriadah dan berekreasi melepaskan stres kita di samping memberi persekitaran berbeza, bak kata peribahasa, jauh perjalanan, luas pemandangan.
Rentetan itu, individu yang menghadapi masalah stres yang serius harus berjumpa dengan doktor. Hal ini demikian kerana doktor lebih berpengalaman dan tahu cara mengubatinya, persis kata mutiara, jauhari juga yang mengenal manikam. Apabila kita mengalami sakit kepala atau migrain, doktor dapat memberi khidmat kesihatan dan menasihati kita untuk menangani tekanan. Imbasan CT dapat menunjukkan kondisi otak manakala kepakaran doktor menganalisis dan mendiagnos diri kita untuk mengelakkan masalah ini bertambah ruwet, persis sebelum kudis menjadi tokak. Seterusnya, pemberian ubat-ubatan menenangkan jiwa boleh merawat gejala ini. Kita juga dapat bertanya dan menjelaskan kekeliruan kita. Intihanya, perkhidmatan doktor wajar diperoleh untuk menangani masalah stres kerana doktor memahami anatomi badan kita.
Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, masalah stres merupakan satu kekangan serius dan harus ditangani sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya tidak, nescaya masyarakat tidak dihembusi bayu keharmonian lantaran terikat dengan kehidupan rancak di bandar. Justeru, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mencari jalan penyelesaian serta tidak memandang enteng terhadap polemik ini persis rumput di tepi jalan. Sesungguhnya, Beng Tju, seorang pemikir unggul pernah menukilkan kata-kata, “rakyat ialah akar bangsa, jika akarnya sihat, pokoknya sihat juga”. Tuntasnya, masalah stres perlu dibendung untuk menjamin masa depan masyarakat yang sejahtera, damai dan permai.
Artikel 5
Jangan tinggal solat – Sebagai seorang umat islam, kita hendaklah melakukan perkara yang wajib dilaksanakan dan meninggalkan perkara yang salah. Dirikan lah solat lima waktu dan tingkatkan ibadah sunat akan membuat hati menjadi lebih tenang. Berdoa lah kepada Tuhan agar diberikan petunjuk dan masalah duniawi dapat diselesaikan dengan baik.Positif – Semua orang senang untuk mengatakan “saya seorang yang positif” tapi sebenarnya susah hendak dilakukan. Untuk menjadi seorang yang positif, kita hendaklah kuatkan semangat diri dan yakin bahawa segala yang berlaku ada hikmahnya. Fikirlah yang baik dan jadikan lah diri kita sebagai seorang yang berani menerima dan mahu mengubah untuk menjadi lebih baik. Tambahan lagi, tiada siapa yang dapat mengubah diri anda selain daripada kemahuan anda sendiri.Kawal emosi – Biasanya, tekanan akan menyebabkan mood menjadi tidak menentu. Adakalanya anda bermasam muka dan ada masanya anda akan marah secara tiba-tiba. Situasi tersebut adalah bergantung apa yang kita hadapi dan alami. Namun, semua itu tidak akan menyelesaikan masalah oleh itu adalah lebih baik jika kita mengawal emosi agar diri menjadi lebih tenang dan tidak mengikut perasaan.Ambil masa anda – Luangkan masa untuk bersendirian dan tenangkan fikiran anda yang sedang bercelaru tersebut. Anda boleh pergi ke tempat yang anda rasa boleh menenangkan fikiran anda disamping mencari penyelesaian terhadap situasi yang berlaku. Dengan bersendirian anda mampu berfikir dengan lebih baik dan mengurangkan perasaan tekanan tersebut.Luangkan masa dengan keluarga dan rakan anda – Ketika menghadapi tekanan, keluarga adalah penyembuh utama segala kedukaan di hati kita. Keluarga sentiasa ada di sisi kita ketika susah dan senang oleh itu bersama mereka adalah sesuatu yang membahagiakan dan mengembirakan. Selain itu, anda juga boleh meluangkan masa bersama rakan anda seperti beriadah dan makan malam bersama. Dengan itu, hati akan menjadi lebih ceria dari sebelumnya.
Diharap melalui panduan yang diberikan, kita dapat bersabar dan tabah dengan apa sahaja masalah yang di alami. Jangan mudah putus asa dan elakkan daripada melakukan perkara yang tidak baik ketika menghadapi tekanan.
Ulasan
Catat Ulasan