Artikel 1
ialah:
Samseng & Gengsterisme
Gejala samseng & gengsterisme yang berlaku di sekolah menengah semakin membimbangkan. Adakalanya kerana terpengaruh dengan rakan sebaya, remaja menyertai kumpulan gengster di luar. Kebiasaannya apabila kumpulan gengster ini dibentuk di sekolah,kumpulan ini akan mengambil kesempatan untuk membuli pelajar yang lemah. Mereka tidak takut kepada sesiapa kerana merasakan sudah kuat & boleh membuat apa sahaja. Amaran keras dari pihak sekolah dan hukuman dibuang atau digantung dari persekolahan tidak menjadi masalah besar buat mereka. Kumpulan ini bukan sekadar membuli pelajar yang lemah, malah ada yang lebih berani mula terbabit di dalam penyalahgunaan dadah, mencuri, mengugut & yang lebih kronik terbabit dalam jenayah berat seperti merogol & membunuh.
Tidak terkecuali juga bagi remaja yang terlibat di dalam kumpulan punk & skin head. Sungguhpun mereka mengatakan bahawa mereka menyertai kumpulan ini sekadar suka-suka & tidak terbabit di dalam kes jenayah, terdapat juga laporan di dalam media cetak sesetengah kumpulan punk & skinhead terbabit dalam kes jenayah apabila mereka terlalu taksub dengan idealogi kumpulan.
Seks Bebas
Seks bebas ini juga antara masalah yang semakin meruncing yang mana remaja yang terlibat bukan sahaja tinggal di kawasan bandar & kota, malah turut berlaku di luar bandar. Lebih menyedihkan, remaja yang terbabit yang berusia seawal 12 tahun. Pengaruh dari rakan-rakan & juga video lucah antara punca berlakunya masalah seks bebas. Kes yang kerap dilaporkan di media cetak ialah remaja perempuan yang lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki. Alasan yang kerap diberikan adalah tidak tahan dikongkong oleh ibu bapa & ingin mencari kebebasan di luar. Berlakunya hubungan seks bebas ini sehingga remaja perempuan mengandung anak yang tidak sah taraf. Bagi remaja perempuan yang kebingungan untuk mencari jalan penyelesaian, desakan dari rakan-rakan & teman lelaki untuk menggugurkan kandungan & membuang bayi adalah antara penyelesaian singkat bagi mengelak daripada menjadi tohmahan masyarakat. Namun,terdapat juga remaja yang hamil anak tidak sah taraf tidak sanggup mengambil risiko membahayakan nyawa dengan menggugurkan kandungan. Mereka meminta bantuan daripada pihak rumah kebajikan untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan. Kerajaan Melaka misalnya mengambil inisiatif dengan menubuhkan sekolah remaja yang hamil anak tidak sah taraf untuk membantu remaja ini dengan memberi perlindungan & bimbingan kepada mereka. Walaupun cadangan ini pada awalnya mendapat reaksi negatif daripada masyarakat, namun ia merupakan salah satu cara untuk memberi perlindungan kepada remaja yang terjebak dalam kancah sosial.
Minum Arak & Penyalahgunaan Dadah.
Sikap suka mencuba & menyahut cabaran rakan-rakan antara sebab berlaku gejala ini. Arak boleh dibeli di kedai runcit dijual dengan harga yang murah. Bukan perkara yang pelik jika akhbar ada melaporkan pelajar sekolah rendah juga ada yang membeli minuman keras & berkongsi dengan rakan-rakan mereka. Penyalahgunaan dadah juga antara masalah sosial yang paling kerap dilaporkan. Berdasarkan kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia mendapati kebanyakan penagih dadah di Malaysia mula mengenali dadah dalam lingkungan usia 13-15 tahun & 71% daripada penagih baru terdiri daripada golongan muda yang berusia antara 19-39 tahun. Dadah bukan terhad kepada jenis dadah yang dikenali umum seperti morfin, heroin, metaphatemin, ganja & pil kuda, ia turut merangkumi jenis-jenis ubat yang disalahguna seperti ubat batuk & gejala hidu gam. Tidak kira dadah, arak atau pun hidu gam, ia membawa risiko yang amat tinggi sehingga boleh membawa maut.
Lumba Haram
Gejala mula popular di kalangan remaja sekitar akhir tahun 90 an. Alasan sering kali diutarakan oleh remaja yang menyertai lumba haram ini adalah inginkan kebebasan & keseronokan. Kebiasaannya, hadiah yang dipertandingkan dalam perlumbaan ini adalah wang pertaruhan yang diperolehi dari penonton & gadis remaja daripada kumpulan yang kalah. Mereka tidak ketinggalan menggunakan dadah. Kumpulan lumba haram ini tidak takut kepada pemantauan pihak polis & yang paling teruk mereka tidak takut mati setiap kali berlumba. Tidak menjadi masalah besar buat mereka seandainya mereka pernah terbabit dalam kemalangan atau rakan mereka maut ketika berlumba. Kumpulan ini mempunyai perasaan setia kepada kumpulan masing-masing & sanggup terlibat dalam pergaduhan. Motosikal yang digunakan untuk perlumbaan haram kebiasaannya telah diubah. Peratusan remaja yang terlibat dalam perlumbaan haram ini semakin meningkat & pihak polis sendiri semakin kerap membuat pemantauan bagi mengurangkan kes lumba haram sekaligus mengurangkan kadar kemalangan ngeri akibat perlumbaan tersebut.
Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah masalah sosial baru di kalangan pelajar sekolah di negara ini. Daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97% adalah dari kalangan pelajar lelaki & 3% adalah pelajar perempuan. Masalah ponteng sekolah lebih ketara berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah iaitu tingkatan 2 & 3 terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar & sekolah di pinggir bandar. Di antara faktor yang menyebabkan berlaku masalah ini ialah tiada minat atau motivasi untuk ke sekolah, pengaruh rakan sebaya & pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah & melayari internet di cyber cafe.
Artikel 2
Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bosia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.
Pelbagai kes jenayah berlaku turut melibatkan kes Juvana. Dalam tahun 1995 ,1,895 kes melibatkan Juvana. Daripada jumlah itu 406 kes curi kenderaan atau (21.42 peratus), lain-lain kecurian 451 kes (23.80%), pecah rumah malam hari 324 kes (17.10%), curi dalam bangunan/orang gaji 277 kes (14.62%), mendatangkan kecederaan 154 kes (8.13%), pecah rumah siang hari 148 kes (7.81%), rogol 70 kes (3.70%) dan samun 58 kes (3.06%). Perangkaan-perangkaan yang menggerunkan ini menyerlahkan kepada kita betapa seriusnya krisis akhlak yang melanda remaja di negara kita ketika ini.
Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.
Artikel 3
Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial
telah melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai
sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana
golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan
merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap
lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita
tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang
melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah
membabitkan pelajar dan remaja benar-benar membimbangkan kita.
Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang
amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman
inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah
persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar
banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya
daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para
remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup
daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim,
1950).
Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau
berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah ,
lari dari rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita..
Mereka kini sudah berani melakukan perbuatan jenayah berat seperti menganggotai
kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api
mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan
dadah , minum minuman keras, terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti
ini bukan sahaja berlaku disekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah
disekolah luar bandar.
Artikel 4
GEJALA sosial merupakan satu amalan tidak sihat yang sering dikaitkan dengan remaja pada masa kini. Gejala atau masalah yang ketara yang dapat kita lihat dalam masyarakat kita pada hari ini adalah seperti masalah atau gejala samseng atau gangsterisme, seks bebas, pembuangan bayi, merempit atau lumba haram, penyalahgunaan dadah, minum arak dan ponteng sekolah.
Gejala-gejala seperti ini dapat mendorong seseorang remaja terjebak ke lembah yang boleh merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Seringkali kita dengar berbagai-bagai berita buruk yang sering disiarkan dikaca-kaca televisyen, di corong-corong radio mengenai masalah ini terutamanya kes pembuangan bayi, kes gangster (buli), dadah, ponteng sekolah dan lain-lain lagi.
Zaman remaja merupakan zaman yang sangat menyeronokkan bagi setiap individu. Pada zaman remaja, seseorang individu sudah semestinya ingin mencuba pelbagai benda dalam kehidupan mereka.
Kehidupan zaman remaja seolah-olah memberikan kebebasan yang sepenuhnya untuk melakukan pelbagai perkara tanpa berfikir panjang terlebih dahulu. Oleh sebab itu, tidak mustahil seseorang remaja boleh terjebak ke lembah gejala sosial yang tidak sihat ini.
Jika kita teliti dengan mendalam terdapat banyak punca kenapa golongan remaja mudah terjebak dalam kancah gejala sosial. Antara punca-punca berlakunya masalah ini adalah kurangnya didikan agama dalam keluarga, ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan harian mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa terhadap anak-anak.
Selain itu, berpunca daripada pergaulan bebas, kurangnya kasih sayang ibu bapa dan sebagainya. Hal ini, menyebabkan remaja sekarang terlalu bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa berfikir terlebih dahulu sama ada perkara yang dilakukan itu baik ataupun buruk.
Oleh itu, masalah ini haruslah dibendung daripada sekarang agar tidak menyesal dikemudian hari terutamanya ibu bapa. Ibu bapa perlulah meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak di rumah, memberikan perhatian yang penuh kepada anak-anak agar mereka lebih berasa disayangi.
Selain itu, pendidikan agama juga haruslah ditekankan dalam hidup anak-anak supaya mereka berakhlak mulia dan tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Oleh itu, masalah ini perlu dikawal sejak dari rumah dan perlu diterapkan sejak kecil lagi agar dapat melahirkan generasi yang elok perangai dan akhlaknya pada masa hadapan bak mengikut peribahasa Melayu iaitu “sediakan payung sebelum hujan”.
Kurangnya Nilai atau Pendididikan Agama
Kurangnya nilai dan pegangan agama yang kukuh maka tidak mustahillah iman seseorang itu akan goyah terutamanya insan yang baru hendak mengenal selok-belok kehidupan di dunia ini yang penuh dengan segala cabaran dan dugaan hidup.
Ajaran agama perlulah diterapkan sejak dari rumah lagi. Ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan ajaran agama yang sempurna untuk membentuk akhlak anak-anak supaya lebih baik dan dapat membezakan antara yang baik dan buruk.
Jika ibu bapa tidak menerapkan ajaran agama dalam diri remaja, sedikit sebanyak remaja tersebut kurang panduan dalam menghadapi cabaran sosial yang serba mencabar ini. Pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri remaja sejak kecil lagi.
Ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis sebenarnya sudah cukup menyeluruh untuk dijadikan panduan hidup dalam menerangi kegelapan. Islam sudah menerangkan secara jelas tentang bahana atau hukuman setiap gejala sosial jika dilakukan oleh orang Islam.
Jika panduan agama ini dijadikan satu pegangan yang kukuh dalam diri maka, secara tidak langsung gejala sosial tidak akan wujud dalam negara dan ia dapat dibendung dengan baik sekali.
Hal ini tidak hanya berfokuskan kepada penganut agama Islam sahaja, agama-agama lain juga seperti agama hindu, buddha, kristian dan lain-lain mencegah sekeras-kerasnya penganut mereka melakukan perkara-perkara yang tidak baik yang boleh menimbulkan kerumitan dalam hidup.
Sekiranya ajaran atau didikan agama yang sempurna maka, hidup manusia dalam keluarga, masyarakat dan negara akan aman dan bebas daripada segala gejala sosial yang timbul seperti lumba haram, dadah, bergaduh dan sebagainya.
Ibu Bapa Yang Terlalu Sibuk
Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan tugas masing-masing merupakan salah satu punca berlakunya gejala sosial ini. Majoriti pada zaman sekarang ibu bapa boleh dikatakan 80% bekerja kedua-duanya sehinggakan kualiti masa untuk bersama dengan anak-anak di rumah tiada, menyebabkan kehidupan seharian anak-anak terabai dan secara tidak langsung nilai kasih sayang juga berkurangan.
Kesibukan bukan alasan sebagai penghalang ibu bapa mengambil berat hal anak-anak mereka. Paling penting ibu bapa tahu peranan dan mengamalkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu perihal anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah ‘menjadi rakan’ kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah.
Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Tetapi dunia hari ini, disebabkan kesibukkan itu ibu bapa semakin merasakan berada di zon selesa.
Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa merupakan insan yang paling terdekat dengan anak-anak atau remaja. Ibu bapa haruslah meluangkan lebih banyak masa dengan anak remaja mereka di rumah. Menerapkan nilai-nilai kasih sayang yang mencukupi serta ajaran atau didikan agama yang sempuran untuk membentuk keperibadian yang sempurna dan mulia.
Selain itu juga, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah menjadi rakan kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah.
Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
Selain itu, ibu bapa juga perlu mengenali rakan anak-anak remaja mereka. Jika perlu, sesekali minta supaya anak-anak membawa rakan-rakan mereka ke rumah supaya dapat dipastikan dengan siapa anak kita berkawan.
Ibu bapa harus sentiasa berdoa agar anak-anak mereka terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini. Mereka harus sedar bahawa doa ibu bapa sangat penting untuk kesejahteraan hidup anak-anak dan juga ia membawa keberkatan dalam hidup seharian.
Peranan Sekolah
Peranan pihak sekolah terutamanya guru-guru merupakan satu langkah yang perlu diambil serius. Guru-guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik, tetapi harus menjadi rakan kepada remaja. Guru yang diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya.
Guru yang hanya memerintah akan diingati sebagai pemerintah dan tidak didekati. Hasilnya, arahan akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, bahkan mewujudkan pemberontakan antara pelajar dengan gurunya. Ini pula akan menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat terhadap proses pembelajaran. Oleh itu, guru perlulah pandai mengambil hati murid-murid mereka juga agar suasana yang sihat dapat diwujudkan.
Kesan Ke atas Individu
Kesan ke atas individu itu sendiri iaitu remaja yang terlibat. Seseorang insan yang dilahirkan didunia yang fana ini ibarat sesuci kain putih yang tiada kotoranya, ia terpulang pada seseorang individu itu bagaimana dia hendak mencorakkan kehidupannya.
Individu yang mencorakkan dirinya dengan akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, berbanding individu yang mencorakkan dirinya dengan perkara-perkara negatif akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling.
Bagi seseorang yang bergelar muslim terutamanya remaja, akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan perkara-perkara keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, kebanyakan remaja muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran Islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan negara.
Tidak dapat dinafikan juga kesan gejala sosial ini akan memberikan kesan yang mendalam pada diri seseorang remaja itu sehingga boleh membawa kepada kerosakkan diri sendiri akibat daripada tindakan bodoh yang dilakukan itu.
Kesan Kepada Keluarga
Seterusnya, kesan kepada keluarga. Akhlak seseorang individu remaja yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu.
Akibat daripada wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya akan berlakunya penceraian. Ini akan menjadikan masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara, seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja. Kesannya berlakunya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.
Artikel 5
Punca - Punca Gejala Sosial
Banyak yang boleh nak diperkatakan tentang gejala sosial antaranya ialah:-
Media Massa
Pengaruh modenisasi dan globalisasi in lebih terasa dan ketara dengan bantuan berbagai alat media-massa yang serba canggih. Media massa merupakan sumber maklumat yang cukup berkesan dalam penyebaran berbagai informasi. Melalui teknologi yang semakin canggih ini, golongan belia mudah terdedah kepada banyak maklumat, namun tidak semua maklumat- maklumat itu sesuai untuk kesemua peringkat umur.Ini menjadi masalah kerana lazimnya golongan belia mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang ditonton.
Internet
Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) juga turut menyumbang kepada pemaparan gejala-gejala negatif selain peranannya yang begitu penting bagi kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Melalui internet umpamanya, masyarakat yang berfikiran kurang sihat dengan mudahnya boleh akses kepada maklumat-maklumat yang boleh menjurus ke arah pemikiran negatif.
Institusi Kekeluargaan Yang Goyah
Institusi kekeluargaan yang bermasalah juga boleh menimbulkan gejala sosial. Ibu bapa seharusnya menerap dan mendidik anak-anak mereka dari kecil. Sekiranya, ibu bapa bersikap sambil lewa terhadap pendidi kan agama anak-anak mereka, ini akan menjadi satu faktor punca gejala sosial.Dan lagi, dengan bertambahnya komitmen ibu bapa terhadap kerjaya mereka, masa diluangkan untuk keluarga itu terhad. Ini akan membuat anak - anak kurang mendapat kasih sayang dan tidak mustahil mereka akan mencari alternatif lain untuk mengisi kegersangan kasih sayang. Selain daripada itu, rumahtangga yang bermasalah juga, seperti perceraian dan pergaduhan turut mempengaruhi remaja untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
Cara Berpakaian
Jika kita perhatikan pakaian sesetengah golongan muda di masa ini cukup memalukan.Cara berpakaian mereka bertentangan dengan cara pakaian budaya melayu sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang digariskan Islam, agama rasmi negara kita. Mereka begitu ghairah untuk mengikut budaya asing yang dianggap moden dan maju. Mereka takut dan terlalu ego untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno, dan berfikiran sempit.Sayangnya, tidak semua dapat menerima pendapat bahawa mereka ada memainkan peranan dalam melonjaknya jumlah kes rogol dan seks bebas. Walaupun Brunei Darussalam sebuah negara MIB, kita tidak dilarang berfesyen, akan tetapi berpadalah dengan aturan dan garis panduan syarak dan budaya yang telah ditetapkan.
Dunia Cinta Remaja
Di zaman moden ini, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah dilihat sebagai satu kemajuan dalam pembentukan masyarakat yang lebih maju tetapi bukan sebagai pelanggaran perintah Allah SWT. Memang lumrah, perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Tetapi sekiranya perasaan ini tidak dikawal, sudah tentu ini akan menimbulkan gejala - gejala sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya. Bercinta tidak pernah dianggap salah malahan orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Mungkin ada cara untuk menangani masalah percintaan. Remaja diingatkan supaya berkawan atau bercinta dengan cara yang telah digariskan oleh Islam yang diantaranya adalah mengelakkan pergaulan tanpa batas, berdua-duaan di tempat sunyi dan sebagainya.
Ulasan
Catat Ulasan