Artikel 1
Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, pakaian tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni. Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi da pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.
Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi. Kuih- muih bertukar pinggan. Kita saling menerima dan memberi. Ucapan “Selamat Hari Raya”, “Gong Xi Fa Cai” dan “Selamat Deepavali” keluar dari jiwa yang penuh keikhlasan. Semangat kekitaan ini akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.
Salah satu tarikan pelancongan ialah budaya kita. Sebenarnya, keindahan pantai, landskap dan hutan Malaysia juga dapat ditemukan di kebanyakan tempat, misalnya di Indonesia dan di Negara Thai. Yang unik ialah budaya tradisional kita, misalnya persembahan teater tradisional seperti bangsawan dan makyung dan tarian seperti kuda kepang dan gawai. Banyak pelancong mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan kita. Ada yang tinggal bersama-sama kita dikampung untuk merasai kehidupan kita. Tidak kurang pula yang merakamkan perkahwinan mereka mengikut adat resam Melayu. Jadi, budaya penting untuk mengembangkan pelancongan.
Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Misalnya, tarian Portugis mengingatkan kita tentang kedatangan Portugis. Bangsawan yang banyak menceritakan tentang Kesultanan Melaka dan kejatuhannya juga mendatangkan pengajaran. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.
Artikel 2
Sejak berzaman lagi, kebudayaan ini telah memainkan peranan yang amat penting kepada masyarakat Malaysia. Selain menjadi simbol perpaduan dan sosialisasi, seni dan kebudayaan juga merupakan aktiviti kesenggangan dan rekreasi yang amat penting dalam kalangan masyarakat kita.
Di antara fungsi-fungsi bidang seni dan kebudayaan ini adalah sebagai aktiviti riadah masyarakat. Masyarakat kita memang gemar beriadah khususnya apabila waktu kelapangan. Bagi masyarakat yang tinggal di kampung, masa senggang mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti riadah seperti tarian, silat, muzik dan sebagainya. Mereka mempelajari sesuatu tarian bukan sahaja untuk tujuan keriangan sebaliknya mengisi masa lapang selain menjalin hubungan sesame mereka. Keadaan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti mereka. Dari sudut kesihatan, aktiviti seumpama ini dapat memberi satu bentuk senaman dan latihan anggota badan agar menjadi sihat dan cergas. Bagi golongan lelaki, aktiviti bersilat juga aktiviti riadah yang baik mengasah mental, emosi serta fizikal mereka agar sihat sejahtera.
Bagi aktiviti seni dan kebudayaan yang berkait rapat dengan agama, seluruh penduduk dan masyarakat kampung terbabit dalam aktiviti berkenaan. Dari sudut agama, hukumnya adalah wajib. Aktiviti-aktiviti seperti nasyid, marhaban dan hadrah merupakan aktiviti kesenian Islam yang berkait rapat dengan amalan keagamaan. Melalui aktiviti kesenian sebegini, pemupukan amalan keagamaan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi keinsafan sebagai seorang Islam. Hal ini dapat mendidik ahli masyarakat supaya akur dengan perintah agama dan mengerjakan perkara-perkara yang wajib dan sunat.
Hubungan masyarakat adalah amat penting. Proses sosialisasi yang membabitkan sebilangan besar masyarakat adalah perlu bagai memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan mereka. Integrasi sosial ialah proses menyatupadukan berbagai-bagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghapuskan perbezaan dan identiti masing-masing
Artikel 3
Identiti masyarakat merupakan kebudayaan dalam masyarakat Malaysia. Kebudayaan telah membentuk suatu identiti bangsa Malaysia yang amat unik sekali. Identiti ini seterusnya menjadi pegangan dan amalan hidup seharian masyarakat di negara kita. Keunikan identiti ini telah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai salah sebuah masyarakat di dunia yang mempunyai kepelbagaian amalan dan aktiviti seni dan kebudayaan. Justeru, hal ini merupakan simbol keagungan negara di mata dunia sebagai sebuah negara multikultural yang disanjung tinggi serta dihormati.
Artikel 4
Melalui pengamalan warisan budaya, kita dapat memupuk, mengukuh serta mempertahankan semangat perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat. - warisan budaya melambangkan sifat majmuk rakyat Malaysia.Budaya tradisi yang diwarisi menjadi cerminan budi dan pekerti masyarakat Malaysia. - nilai murni yang ditonjolkan melalui majlis rumah terbuka menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain.Warisan budaya unik yang kita miliki mampu menjadi aset penting memajukan industri pelancongan negara. - tarian zapin, inang, lilin tidak kedapatan di negara-negara lain.Warisan budaya tradisional dapat memantapkan jati diri warganegara. - kita dapat mengenali asal usul diri kita,mengetahui kepayahan dan pahit getir hidup leluhur kita.Melalui penghayatan budaya warisan, kita terhalang daripada dihanyutkan oleh budaya bejat Barat.Warisan budaya mampu menangkis kemasukan budaya asing yang telah banyak menjajah minda warga belia. - amalan budaya berkaitan pantang larang warisan nenek moyang dapat dijadikan benteng kukuh menangkis serangan budaya asing yang negatif, contoh anak muda dilarang keluar malam.Warisan budaya yang dieksploitasi secara meluas dapat merancakkan industri hiliran seperti industri kraf tangan, rekaan fesyen dan sebagainya.
Artikel 5
Mari kita kupaskan kepentingan utama dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara tentang nilai estetika.Kita dapat mengekalkan nilai estetika negara dalam menempuh perkembangan pesat di peringkat global.Hal ini dapat dikatakan demikian kerana warisan negara mempamerkan keunikan dan kesenian yang hanya terdapat di Malaysia.Sebagai contoh bangunan Stadhuys yang dibina semasa penjajahan Belanda pada zaman pramerdeka dahulu.Pengekalan seni bangunan ini telah menimbulkan rasa kagum terhadap peninggalan sejarah yang begitu mendalam di bumi Asia ini.Oleh hal yang demikian,Kementerian Warisan dan Kebudayaan turut mengambil inisiatif dalam mengekalkan warisan bangsa Malaysia seperti memelihara dan memulih bangunan condong di Teluk Intan.Seperti yang semua sedia maklum bangunan condong itu tetap berdiri teguh walaupun kelihatan sudah tua.Jelaslah,warisan negara yang terpelihara akan mempunyai nilai estetika yang dapat menjadi kebanggaan Malaysia.
Seterusnya,warisan negara kita juga mempunyai daya tarikan pelancong asing yang cakna akan sejarah silam Malaysia.Buktinya kemasukan pelancong asing meningkat dari tahun ke tahun.Daya tarikan yang unik di Malaysia telah memaut hati pelancong asing untuk menikmati keindahan dan keunikan yang ada di bumi bersejarah ini.Tamsilnya,Kota A Famosa yang wujud sejak penjajahan Portugis masih mendapat tumpuan pelancong asing sehingga kini.Bukankah kita bangga akan warisan yang wujud ini? Sudah semestinya kita sebagai warganegara Malaysia turut menzahirkan rasa kagum akan kemerdekaan dan sejarah yang penuh bermakna ini.Jadi,tidak hairanlah jika Malaysia menjadi pilihan pelancong asing untuk mencuci mata.Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut,masyarakat Malaysia juga dapat menjalin interaksi sosial dengan pelancong asing di samping industri pelancongan negara dapat melonjakkan ekonomi negara kita.Maka,tidak rugilah kita memelihara warisan negara bangsa yang terbina sejak berkurun lamanya.
seterusnya,semangat patriotik juga dapat dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia.Warna-warni sejarah yang telah melakar nostalgia negara telah mewujudkan asimilasi pelbagai kaum yang erat serta warisan bangsa yangistimewa.Semangat patriotik dapat dipupuk dalam kalangan anak-anak muda sejak dari rebungnya lagi dengan adanya warisan yang ditingalkan oleh pejuang terdahulu.Sebelum tiram memuntahkan mutiaranya,moleklah digilap dan dijaga dengan baik agar dapat bersinar dengan cahaya yang bergemerlapan.Begitu juga anak-anak muda yang masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang ini dapat dipupuk semangat cinta akan negara dalam dirinya.Jadi,Malaysia dapat melahirkan benih yang baik dan modal insan yang berguna pada masa hadapan.Tokoh pujangga juga ada menyatakan jika benih yang baik dilontar ke udara menjadi kejora,dibaling ke laut menjadi pulau dan dicampak ke bumi menjadi penawar.Analoginya,semangat patriotik dapat dipupuk dalam diri semua masyarakat melalui warisan negara dan bangsa yang masih kukuh sehingga hari ini.
Ulasan
Catat Ulasan